Selasa, 14 Ogos 2012

ASAL KETUPAT





Zaman ini sudah jarang kita lihat ketupat dihidangkan di rumah-rumah ketika lebaran Aidilfitri atau Aidiladha. Banyak yang menghidangkan ketupat segera yang kulit luarnya adalah plastik dan bau pandannya artifisial. Tetapi percayalah, setelah membaca dapatan di bawah ini, kalian akan mempertimbangkan ketupat asli pada lebaran yang akan menjelang beberapa hari lagi, InsyaAllah, walaupun terpaksa merebusnya berjam-jam lamanya.

Tradisi menghidangkan ketupat pada setiap lebaran saban tahun bukan sekadar menutup ritual puasa sebulan penuh, tetapi ia punya makna tersirat yang tersendiri.

Bahasa


Pada zaman dahulu, tradisi KUPATAN (bahasa Jawa bermaksud ketupat) adalah yang ditunggu-tunggu. Sebahagian masyarakat Jawa percaya bahawa KUPAT berasal dari perkataan dalam bahasa Jawa; KULO LEPAT, yang bererti “Aku Lupa”. Yakni, kita mengakui kitalah hamba Allah yang sering lupa dan tidak luput dari khilaf dan salah. Oleh itu, jadilah ia satu tradisi pada 1 Syawal kita saling bermaaf-maafan sesama keluarga dan kenalan.


Ada juga yang meyakini KUPAT diserap dari kata KUFFAT, bentuk jamak dari KAFI dalam bahasa Arab, yang bererti “sepenuh harapan”. Sebahagian yang lain berpendapat KETUPAT berasal dari perkataan Jawa TLUPAT – Singkatan dari perkataan TELU (tiga), PAPAT (empat) – yang melambangkan puasa sebagai Rukun Islam ketiga (TELU) dan zakat sebagai Rukun Islam yang keempat (PAPAT). Masyarakat Jawa meyakini KUPATAN adalah tradisi peninggalan Walisongo (Wali Sembilan) yang diperkenalkan oleh Sunan Kalijaga. Ia kerap mengajarkan nilai-nilai Islam dengan menyerap simbol-simbol kejawaan.


Makna Anyaman Ketupat


Ketupat terdiri dari nasi yang dibungkus dalam anyaman unik daun kelapa muda atau JANUR dalam bahasa Jawa. Nasi adalah makanan ruji orang Asia yang menjadi simbol kepada “nafsu dunia”. Manakala JANUR dalam budaya Jawa berasal dari perkataan “Jatining Nur” bermaksud “sejatinya nur”), iaitu hati nurani. Jadi ketupat secara simbolik dari nafsu dunia yang dapat ditutupi oleh anyaman rapat hati nurani supaya ia tidak terlepas merosak manusia.


Kerna itu, pada zaman dahulu, tradisi KUPATAN adalah peristiwa tahunan yang mesti diadakan meski semiskin manapun seseorang, hanya kerana untuk memelihara tradisi yang punya makna tersendiri dalam mencari pencerahan dan redha hidup sebagai hamba ciptaan Tuhan.


Ok anak muda semua, marilah kita menghidangkan ketupat pada 1 Syawal nanti.selamat hari raya maaf zahir batin dari ALDHUHA buat anda semua

Tiada ulasan:

Catat Ulasan