Sejauh mana kasih sayang dan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.? Sejauh mana kita benar-benar membumikan dan membuktikan kecintaan kita kepada baginda SAW.? Saat ini, di tahap mana perjuangan kita meneruskan misi risalah dakwah Rasulullah SAW. Apakah kasih kita sekadar sebutan di bibir sedangkan kehidupan kita jauh dari meneladani peribadi dan akhlak baginda SAW. Umat kekeringan cinta sejati terhadap Rasulullah SAW. Justeru saat ini kita kehilangan kekuatan sebenar untuk membangunkan kembali resipi “original” Islam dalam kehidupan manusia.
Menelusuri sirah para sahabat RA. kita akan menemui keteladalan luar biasa mereka dalam membumikan kasih sayang mereka kepada Rasulullah SAW. Kita tadabbur salah satu sirah mereka. Di dalam sirah Ibnu Hisham diceritakan satu kisah sahabat bernama Saad bin Rabe' yang terlalu kasihkan Rasulullah SAW dan Rasulullah pun kasih kepadanya. Kisah yang menarik ini dirakamkan selepas berlakunya perang Uhud ketika tentera Islam tewas disebabkan sebahagian mereka tidak mentaati perintah Rasulullah.
Cinta Saad Bin Rabe’ Pada Rasul
Sebaik saja peperangan berakhir, ramai di kalangan sahabat yang gugur syahid. Tetapi Nabi SAW yang dahinya masih luka berdarah serta patah gigi, baginda tetap terkenangkan seorang sahabat yang baginda kasihi dan sayangi iaitu Saad bin Rabe'.
Di kalangan pasukan perang yang masih hidup itu, Nabi SAW tidak melihat kelibat Saad bin Rabe'. Tergerak di hati Nabi untuk mengetahui keadaan Saad bin Rabe', sama ada Saad masih hidup ataupun turut terkorban bersama syuhada yang lain.
Nabi SAW mengarahkan di kalangan sahabat untuk berusaha mencari Saad bin Rabe' bagi mengesahkan kedudukannya yang sebenar, sama ada hidup atau gugur syahid. Lalu bangun seorang sahabat dari kalangan Anshar, Zaid bin Tsabit menawarkan diri untuk melaksanakan kehendak Nabi SAW bagi mencari Saad.
Zaid bin Tsabit RA menceritakan bahawa setelah mencari di segenap penjuru medan Uhud akhirnya Saad bin Rabe' ditemui dalam keadaan luka parah. Beliau dikekelilingi oleh jenazah para sahabat yang lain. Tetapi keadaan Saad di antara hidup dan mati, malah boleh dikatakan kematian sudah begitu hampir dengannya.
Tubuhnya kelihatan terkena 70 luka tusukan tombak, sabitan pedang, dan lemparan anak panah. Kemudian Sa`ad berkata, "Katakan kepada Rasulullah bahawa aku benar-benar telah mencium wangian syurga. Katakan juga kepada kaumku Anshar agar mereka jangan khuaatir jika telah mengikhlaskan diri kepada Rasulullah SAW dan sesungguhnya mereka telah berada di hujung perjalanan."
Zaid bin Tsabit RA bertanya kepada Saad: "Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan aku supaya mencari engkau, untuk mengetahui tentang dirimu. Bagaimana keadaan kamu wahai Saad?" Jawab Saad dalam nada lemah:
"Sesungguhnya aku berada dalam kalangan jiwa yang mati. Oleh itu kembalilah yang semakin menghampiri kematian. Jika engkau bertemu Nabi katakan kepada baginda bahawa aku berkirim salam."
Berkata Saad seterusnya dengan nada yang tersekat-sekat: "Bahawa aku berserah diri kepada Allah SWT untuk membalas jasa Nabi SAW, kerana aku tidak dapat membalas jasa baginda yang telah mempimpin dan mengasuhku, hingga aku menjadi seorang mukmin dan menjadi pengikut Nabi SAW yang setia."
Kata Saad lagi: "Jika engkau kembali ke Madinah, aku juga berkirim salam dengan sahabat-sahabat kita di Madinah. Katakan kepada mereka, bahawa Saad bin Rabe' menyampaikan pesanan kepada anda sekalian. Bahawa jika anda masih hidup sedangkan kamu tidak mempertahankan Nabi sehingga Rasulullah SAW dibunuh oleh musuh, maka kamu tidak akan ada alasan atau jawapan ketika ditanya oleh Allah Taala di akhirat kelak."
Akhirnya Sa'ad bin Rabi' menghembuskan nafas terakhirnya. (HR Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Zaid bin Tsabit RA terharu mendengar kata-kata terakhir Saad bin Rabe', dia terpaku seketika sehingga Saad menghembuskan nafasnya yang akhir. Setelah itu beliau beredar dan kembali semula menemui Nabi SAW, beliau menyampaikan salam dan pesanan Saad bin Rabe' kepada Nabi sejurus sebelum ajalnya tiba.
Luarbiasa kecintaaan dan kasih Saad kepada Rasulullah SAW. Beliau mengakhirkan kehidupan dalam keadaan mempertahankan habis-habisan kesucian Islam demi menjayakan misi dakwah Rasulullah SAW.
Cinta Adalah Prinsip
Mencintai dan mengasihi Rasulullah adalah sebuah prinsip dan kewajiban bagi setiap muslim, bukan sebuah pilihan yang samada mahu atau tidak. Terhadap Muhammad SAW, seorang Muslim harus menyimpan rasa cinta betapapun kecil. Ini kerana cinta dan kasih sayang merupakan dasar dan landasan ke arah melahirkan pengikut sejati umat Muhammad SAW seperti yang telah diteladani oleh para sahabat RA.
“Ya Rasulullah, sungguh engkau lebih kucintai daripada diriku, dan anakku,” kata seorang sahabat suatu hari kepada Rasulullah Muhammad saw. “Apabila aku berada di rumah, lalu kemudian teringat kepadamu, maka aku tidak akan tahan meredam rasa rinduku sampai aku datang dan memandang wajahmu. Tapi apabila aku teringat pada mati, aku merasa sangat sedih, kerana aku tahu bahawa engkau pasti akan masuk ke dalam syurga dan berkumpul bersama nabi-nabi yang lain. Sementara aku apabila ditakdirkan masuk ke dalam syurga, aku khuatir tak akan dapat lagi melihat wajahmu, kerana darjatku jauh lebih rendah dari darjatmu.”
Mendengar kata-kata sahabat yang demikian mengharukan hati itu, Nabi tidak memberi sembarang jawaban sehinggalah malaikat Jibril turun dan membawa firman Allah SWT berikut:
“Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (An Nisa’: 69)
Apabila kita jujur dalam mencintai Muhammad SAW, maka jiwa kita akan terbentuk dan tercermin pada jiwa Muhammad SAW.
“Bukti cinta adalah mendahulukan sang kekasih di atas selainnya,” begitu kata Imam Ja’far al-Shadiq AS.
Abu Musa al Asy’ari RA dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka mempercepatkan langkah dan begitu bahagia untuk menemui Rasulullah SAW sambil mendendangkan syair kegembiraan:
“Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!”
Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)
Berkata Ishaq al-Tujibi RA, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengan baginda SAW.
Muhasabah Cinta
Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Apabila kita jujur mencintai Muhammad SAW, maka kita akan berusaha semaksima mungkin menggali segala sesuatu tentang dirinya; kehidupan peribadinya, kehidupannya dalam keluarga, dengan sesama saudara, dengan lingkungannya, dan yang lain. Apabila kita ingin mengetahui sejarah Muhammad SAW dan segala sesuatu yang berkaitan dengan peribadi manusia yang agung ini, hendaklah diawali dengan rasa cinta terlebih dahulu. Apabila sudah tertanam rasa cinta, maka akan terbina sikap sungguh-sungguh untuk mengenalinya secara tepat dan mendalam. Mengenali baginda tanpa dilandasi atas dasar cinta akan menyebabkan hubungannya longlai dan rapuh terhadap Rasulullah SAW.
Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata? Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan